Pendekar Gayong
SENJATA
Home | MAHAGURU | ASAL-USUL | LAMBANG | GALERI ALBUM | SENJATA | SASARAN MAUT | PELAJARAN | WEB DESIGNER

SENJATA-SENJATA YANG DIGUNAKAN PENDEKAR DI ZAMAN SILAM

SUMBER:LAMAN PUSAKA GAYONG JALAK LENTENG

keris.jpg

Keris merupakan salah satu senjata orang-orang Melayu. Permainan keris biasa diajarkan di dalam kebanyakan silat. Tanpa mengetahui permainan keris, tak lengkaplah ilmu kependekaran seseorang itu. 

Antara keris yang terkenal hingga kini ialah seperti Keris Taming Sari dan Nogo Sorso yang mempunyai luk 13 dan matanya berbentuk ular naga yang diperbuat daripada emas. Untuk menentukan jenis keris yang terdapat di kepulauan melayu adalah dari pemerhatian keatas bentuknya iaitu hulu, sarung dan bentuk matanya. 

Dari bentuk inilah keris boleh dibahagikan kepada 7 jenis: 

  • Keris Semenanjung atau Utara
  • Keris Pekakak
  • Keris Jawa
  • Keris Sumatera
  • Keris Bali dan Madura
  • Keris Bugis
  • Keris Sundang atau Solok

Bagi menempa sebilah keris sekurang-kurangnya hendaklah dari 2 jenis besi yang berlainan dan 7 jenis besi bagi keris yang baik. Adalah dipercayai keris kepunyaan Laksamana Hang Tuah diperbuat daripada 20 jenis besi yang diambil dari tempat yang berlainan. 

Kebanyakan keris zaman dahulu adalah berbentuk 'peribadi' yang diperbuat daripada tangan iaitu 'picit'. Tukang besi terlebih dahulu akan mengenal pasti tuan empunya dan ayat-ayat al-Quran digunakan, selain ayat tertentu yang bersesuaian dengan pemiliknya. 

Panjang atau lebar mata sebilah keris bergantung kepada jenis sama ada dilurus atau berluk-luk. Jumlah luk keris adalah dalam angka ganjil. Ulu keris diperbuat daripada kayu, tanduk atau tulang. Ulu keris akan diukir cantik dari pelbagai rupa dan bentuk mengikut kehendak pemiliknya. Ada juga hulu keris diperbuat dari emas. Pada kurun ke-15, Sultan Mahmud Shah telah mengistiharkan hanya kerabat diraja sahaja boleh menggunakan keris berulukan emas. Ulu keris jenis ini dinamakan : 

  • Keris Ulu Kencana
  • Keris Harubi
  • Keris Marubi 
  • Keris Bawang Sebongkol

 Sarung keris juga mempunyai nama-nama tertentu iaitu: 

  • sampir
  • sarong
  • buntut

Sampir diperbuat daripada kayu keras yang cantik dan adakala juga diperbuat daripada gading. Sampir merupakan bahagian yang tebal serta lebar dan mempunyai bentuk jalur bujur dan jalur bulat. 

Sarong pula berbentuk panjang lurus dan ada pula yang meruncing sedikit ke sebelah bahagian hujungnya yang diperbuat dari kayu atau gading. 

Bahagian buntut pula diperbuat dari kayu, tulang, tanduk, gading ataupun logam dan mempunyai empat jenis bentuk yang berlainan iaitu bulat tempurung, bujur sirih, bujur sangkar dan mata kapak. 

Melihat bentuk-bentuk tertentu pada keris menampakkan satu nilai seni dan budaya yag tinggi masa lampau dan zamannya. Bagi seorang ahli silat, keris itu lambang seorang pendekar dan lambang kekuatan melayu . 

 Tumbuk Lada

Tumbuk Lada berasal dari Sumatera yang juga dikenali sebagai Tumbuk Lading. Ianya dipakai sebagai senjata adat istiadat bagi ketua-ketua bawahan bagi Negiri Sembilan dan Minangkabau. Keris pula hanya dikhaskan untuk kerabat diraja dan golongan bangsawan. 

Mengapa dipanggil Tumbuk Lada? Pada tahun 1936, seorang tukang kebun menyatakan ianya dikenali begitu kerana hulunya berbentuk alu lesung batu bagi menumbuk lada/cabai. Yang lainnya percaya bahawa kesan tikaman yang membawa kesakian yang amat sangat seperti pedasnya cabai. Penjelasan yang lainnya tidak begitu realistik. Menurut Tuan Haji Sultan Menan dari Kg Baru, Kuala Lumpur, Tumbuk Lada biasanya digunakan untuk menumbuk atau menikam pada dada mangsa. Pada awalnya dikenali sebagai tumbuk dada, yang mana akhirnya dikenali sebagai Tumbuk Lada.

Tumbuk Lada mudah dikenali melalui hulu, mata dan sarungnya yang mana mempunyai bentuk yang berbeza dari senjata lain . Matanya nipis dan melengkung dimana ketajaman hanya pada sebelah saja dan sebelah lagi rata, yang dikenali sebagai sebelah baung. Matanya juga lebar pada mula dan menirus dihujungnya.

Kepanjangan tumbuk lada diantara 8 1/2 ke 11 inci. Matanya nipis dan berat boleh juga digunakan untuk memotong. Bagaimanapun tumbuk lada direkabentuk semata-mata sebagai  senjata menikam.

Hulunya sama ada dibuat dari kayu atau tanduk kerbau dan lembu. Masa sekarang hulunya berbentuk bujur telur dan diukir dengan cantik. Bagi Tumbuk Lada yang berkualiti dibuat berhulukan saduran perak dan berukiran awan timbul dan dawai pintal. Hujung hulu dihiaskan dengan logam berharga. Hulu dari tanduk tidak semestinya bersadur perak tetapi diukir dengan corak yang rumit dan cantik.

Sarungnya pula diperbuat dari kayu yang terdiri dari 3 bahagian. Sarung yang diperbuat dari tanduk ( bahagian atas) dan kayu (bahagian tengah dan hujung). Bahagian kayu adalah saduran perak dan diukur dengan bunga awan timbul. Gelang-gelang  perak pula ditempatkan di antara bahagian  saduran perak. Bahagian atas atau bahagian tanduk juga diukir dengan  rekabentuk rendang.

 BUKU LIMA
 Merupakan senjata kecil yang bukan untuk membunuh, tetapi hanya  sebagai 'habuan' berbisa dalam pertempuran. Biasanya digunakan bagi mengalahkan lawan yang lebih handal, atau bertubuh sasa, atau yang dirasakan `tak makan cekak'. Buku lima diasaskan dari bentuk penumbuk. Sebagai hiasan barang keras pada penumbuk, buku lima ditambah yang mana sedia maklum akan memberikan pukulan yang sangat  berbisa, sekaligus menghilangkan cabaran musuh. 

Buku lima diperbuat dari bahan logam besi atau tembaga dan dijadikan sebagai senjata sulit. Namun begitu ianya jarang digunakan dalam pertempuran, tetapi hanya untuk tempur satu lawan satu.
Biasanya dipakai tanpa disedari lawan, dan pukulan 'curi' digunakan secara helah. Sasaranya pada muka yang mana akan memberikan kecederaan parah. 

Terdapat 2 jenis buku lima iaitu jenis,`genggaman
dan jenis 'sarung'. Jenis genggaman mempunyai mata yang rata dan mudah terlepas jika genggaman tidak kuat atau musah mahir dalam kuncian. Berbanding pula dengan jenis sarung yang mempunyai mata tajam pada bahagian luar genggaman yang mana mudah dilihat oleh musuh tetapi sukar terlepas dari tangan. Ada juga penyerang yang menanam 'besi kuning' pada buku lima mereka. Menurut ceritanya sesiapa yang terkena buku lima ini akan menemui maut atau setidak-tidaknya akan muntah darah dan menanggung penderitaan. Buku lima yang ditanam besi kuning juga boleh menewaskan ilmu kebal dan menawarkan ilmu hitam. 

Buku lima hanya digunakan sekali sahaja dalam pertempuran, ini mengelakkan daripada diketahui oleh lawan yang mana boleh menyebabkan dendam yang berpanjangan. Tetapi jika sekali pukul lawan pengsan, ini akan memberikan kesedaran pada musuh akan kehebatan kita. Senjata ini adalah merbahaya dan diharamkan oleh kerajaan dan boleh didakwa jika memilikinya.
 

Enter supporting content here